Wahai Yang Sedang Berdukacita, Kalam ALLAH Ini Buatmu

 

Kalam ALLAH sebagai sumber kekuatan dalaman bagi Mukmin.
ALLAH `Azza wa Jalla adalah pencipta kita dan DIA adalah pencipta segalanya. DIA mengetahui yang zahir dan yang batin. DIA mengetahui apa yang terkandung di dalam hati lemah kita. Dan DIA tidak pernah membiarkan kita terkontang-kanting tanpa panduan dan cara menyelesaikannya.
Di dalam al-Quran yang mulia, ALLAH telah menyediakan semua jawapan terhadap persoalan manusia. Tinggal kita sahaja, samada sombong atau tidak, samada mahu mengkaji atau tidak, untuk mendapat manfaat yang besar dari kata-kata ALLAH Jalla wa A`la di dalam kitab yang mulia tersebut.
Berikut adalah sebahagian dari jawapan-jawapan ALLAH Subhanahu wa Ta`ala terhadap bisikan-bisikan yang selalu singgah ke dalam hati manusia yang sedang berdukacita ketika berhadapan dengan situasi sukar masing-masing. Semoga dengan mengetahuinya, hati kita bisa menjadi tenang, insyaALLAH.
1.
Tatkala hati kita berdukacita bertanya ke dalam diri“Kenapalah aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?”, sebenarnya ALLAH `Azza wa Jalla telah pun memberitahu kepada kita bahawa belum tentu apa yang kita idam-idamkan itu baik buat diri kita. ALLAH berfirman:

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيـًٔا وَهُوَ خَيرٌ لَكُم ۖوَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, 2:216)
2.
Tatkala hati kita merungut terhadap ujian yang berat lalu berbisik “Kenapa ujian terhadapku seberat ini???”, ALLAH `Azza wa Jalla telah pun berfirman di dalam al-Quran bahawa DIA tahu tahap kesanggupan dan upaya hamba-hambaNYA:

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

“ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, 2:286)
3.
Apabila insan rasa terhimpit dan dilanda kekecewaan yang teramat sangat dek ujian yang melanda, lalu menjerti di dalam hatinya “Bagaimana aku tidak kecewa???, ALLAH `Azza wa Jalla telah pun berfirman memberikan motivasi buat hati:

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu org yang beriman.” (Surah ali `Imran, 3:139)
4.
Sedang kita berhadapan dilema menghadapi situasi sukar lalu hati kita berbisik kebingungan“Bagaimana harus aku berhadapan dengan semua ini???”, ALLAH `Azza wa Jalla telah pun berfirman memberikan panduan:

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, 2:45)
5.
Tatkala manusia tertanya-tanya “Apa yang aku dapat daripada semua ini???” jika bersabar dan redha dengan ketentuan taqdir, ALLAH `Azza wa Jalla telah pun menjawab dengan firmanNYA:

إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri, harta mereka, dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah at-Taubah, 9:111)


6.
Apabila kita rasa berseorangan dan tidak larat menghadapi ujian lalu hati kita berbisik “Pada siapalah hendak aku minta pertolongan???”. Ketahuilah bahawa ALLAH `Azza wa Jalla lah tempat kita menumpukan usaha memohon pertolongan. ALLAH telah pun berfirman:

فَقُل حَسبِىَ اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ

“Maka katakanlah: ”Cukuplah ALLAH bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-NYA. Hanya kepadaNYA aku bertawakkal.”" (Surah at-Taubah, 9:129)
Maha Suci ALLAH, Segala Pujian BagiNYA yang sentiasa bersifat kasih dan sayang terhadap kita. Kesemua jawapan-jawapan ini yang diperolehi dari kata-kata ALLAH di dalam al-Quran yang mulia bisa memberikan ketenangan dan kekuatan dalaman buat insan yang membaca dan memahanimya. Ia menjadi bekalan buat diri dalam menempuhi jalan kehidupan yang panjang dan sementara ini. Cukuplah ALLAH sebagai penolong dan tempat diserah segala urusan…
Wahai yang sedang berdukacita, tidak usahlah berdukacita kerana ALLAH sentiasa bersamamu dan menolongmu, jika dirimu bersabar