Bagi yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak, tentu banyak pengalaman dengan anak-anak bukan? Dalam keadaan apa sekali pun, asyik diajak kita untuk bermain. Kadang-kadang tengah-tengah malam jam 2 atau 3 pagi pun diajaknya kita bermain jika dia terbangun pada waktu itu. Memang seronok bermain dengan anak-anak. Melihatnya tertawa sudah cukup membahagiakan hati kita, walaupun dalam keadaan kita penat sekali pun. Itulah anak-anak…
Pernah atau tidak anda diajak bermain ketika anda sedang bersolat? Tentu pernah kan? Ia pengalaman yang biasa dialami oleh ibubapa. Kadang-kadang dipanjatnya badan kita, dimasuknya celah kangkang kita, dijoloknya lubang hidung kita, ditariknya baju kita, dicabutnya kopiah kita, diduduknya atas riba kita dan macam-macam lagi.
Ada yang kadang-kadang tu, dia tak kacau kita, tapi dia bermain dengan sesuatu yang boleh membahayakannya. Contohnya bermain dengan suis elektrik, ditarik-tarik baju pada penyangkut baju, dimainnya daun pintu, dimainnya depan bilik air yang lantainya agak lembab dan macam-macam lagi. Tentu hati kita tidak khusyuk jika mengetahui anak kita sedang terdedah dengan bahaya bukan?
Itulah antara pengalaman saya dengan anak-anak. Saya sudah mempunyai 4 orang anak. Masing-masing mereka dengan skill masing-masing ‘berseronok’ dengan abahnya ketika abahnya sedang solat. Hendak buat macam mana, mereka masih anak-anak kecil. Saya teruskan sahaja solat tapi dengan meraikan anak kecil dan berwaspada terhadap keselamatan mereka. Saya percaya tuan/puan juga mempunyai pengalaman yang hampir serupa.
Seharusnya perasaan kasih sayang dan perasaan ingin melindungi anak-anak sentiasa ada dalam diri ibubapa walaupun ketika kita sedang bersolat.
Anak Panjat Badan Ketika Solat
Tulisan ini sebenarnya dihasilkan apabila saya dikongsikan dengan video ini oleh beberapa rakan. Bagi saya, ia adalah contoh yang tidak sepatutnya dibuat oleh ibubapa yang sedang bersolat apabila anak kecil mereka datang bermain atau memanjat badan mereka:
Tahniah buat si bapa di dalam video ini atas kesabaran beliau. NAMUN, cara di atas boleh mengundang bahaya dan berikut adalah komen saya terhadap inti video di atas:
1. Sebaik-baiknya si bapa di dalam video itu cuba untuk menurunkan anak kecilnya itu dengan berhati-hati. Pergerakan di dalam solat untuk mengelakkan bahaya pada anak kecil dibenarkan.
2. Di dalam video itu juga kelihatan si anak kecil itu memanjat tubuh bapa kesayangannya yang sedang sujud. Dalam situasi ini, si bapa sebaik-baiknya jangan terus bangun. Berikan sedikit masa buat anak kecilnya itu bermain sebentar di atas tubuh bapanya. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah sujud lama kerana cucunya duduk di atas belakang Baginda semasa Baginda sedang sujud. Hadithnya saya akan berikan di bawah.
3. Jika ingin bangun juga dari sujud kerana si anak kecil terlalu lama atau kerana si bapa mempunyai hajat lain selepas solat, maka sebaik-baiknya si bapa bangunlah perlahan-lahan dan menurunkan anak kecilnya ke lantai dengan selamat dan berhati-hati. Perbuatan si bapa yang terus bangun boleh membahayakan si anak kecil itu.
4. Saya berasa suspen apabila melihat si anak kecil berada di atas bahu si bapa dalam video di atas. Dan semakin suspen apabila si bapa tidak berbuat apa-apa untuk mengurangkan risiko si anak kecilnya itu dari terjatuh. Dan perasaan suspen itu semakin meningkat apabila si bapa dari keadaan berdiri turun untuk rukuk dan sujud dalam keadaan anak kecil beliau masih di atas bahunya tanpa dipegang. Ini sangat-sangat bahaya! Sebaik-baiknya si bapa itu ambil anaknya yang berada di atas bahu lalu turunkan ke bawah. Jika tidak mahu turunkan ke bahu, bolehlah mendokong anak kecil itu. Cara begitu lebih selamat. Dan sekali lagi saya sebutkan, perbuatan-perbuatan begini tidak membatalkan solat kerana ia termasuk dalam hal dibenarkan iaitu untuk mengelakkan bahaya kepada si anak kecil tersebut.
*Saya terdorong untuk memberi komen di dalam blog ini tentang video di atas kerana saya membaca ramai memuji perbuatan si bapa yang terus ‘khusyuk’ tidak mempedulikan si anak kecilnya. Saya risau perbuatan sebegini ditiru dan dijadikan contoh. Sedangkan dalam Islam terdapat contoh dan tauladan yang lebih jitu, tulen dan terbaik untuk kita ikuti, iaitu contoh dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam.
Bagaimana Nabi sallAllahu `alaihi wasallam Lakukan?
Berikut saya kongsikan beberapa hadith yang menceritakan bagaimana keadaan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam berinteraksi dengan situasi-situasi yang mendesak Baginda untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang asing dari pergerakan-pergerakan solat:
1. Daripada Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma katanya:
“Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pada waktu solat pernah juga menoleh ke kanan atau ke kiri, tetapi tidak sampai menoleh ke belakang.” (HR Ahmad)
2. Imam Abu Daud meriwayatkan:
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ketika solat menoleh ke arah jalan di kaki bukit.” Katanya Baginda sallAllahu `alaihi wasallam menoleh kerana memerhatikan seseorang yang berkuda yang ditugaskan untuk menjaga dan mengawal malam. (HR Ahmad)
Daripada hadith 1 dan 2 di atas, dapat kita mengambil iktibar bahawa diperbolehkan buat kita untuk melihat ke kanan atau ke kiri bagi memerhatikan keselamatan anak kecil kesayangan kita.
3. Daripada Abu Hurairah radhiAllahu `anhu katanya telah bersabda Nabi sallAllahu `alaihi wasallam:
“Bunuhlah dalam solat dua binatang hitam, yakni ular dan kala jengking.” (Hadith Hasan riwayat Ashabus Sunan)
Hadith 3 di atas ini dapat diambil pengajaran bahawa kita dibenarkan untuk melakukan perbuatan yang asing dari pergerakan solat bagi membunuh binatang yang boleh membawa mudharat kepada orang lain.
Dalam kes anak kecil, sekiranya anak kita kelihatan sedang bermain dengan benda yang berbahaya seperti seterika panas, suis elektrik atau lain-lain yang mempunyai risiko yang tinggi akan membahayakannya, maka kita dibenarkan untuk bergerak bagi menjauhkan anak kecil itu dari bahaya.
4. Daripada `A’ishah radhiAllahu `anha katanya:
“Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam sedang solat di rumah dan pintu terkunci dari dalam, lalu saya datang dan meminta agar dibukakan pintu. Baginda berjalan membuka pintu untuk aku lalu kembali menyambung solatnya.” Katanya, pintu ketika itu berada di arah qiblat. (HR Abu Daud, Nasa’i, Tirmidzi dan Ahmad)
Lihat situasi dalam hadith ke-4 ini. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bergerak untuk membuka pintu, sedangkan risikonya tidaklah lebih tinggi dari situasi dalam hadith ke-3 di atas. Ini menunjukkan bahawa pergerakan di dalam solat untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang terdapat padanya kepentingan adalah dibenarkan. Tetapi dengan syarat, dada hendaklah jangan terpaling dari arah qiblat. Dada seseorang yang sedang solat mesti sentiasa ke arah qiblat.
5. Daripada Abu Qatadah katanya:
“Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam solat, sedang cucunya Umamah puteri Zainab (iaitu anak perempuan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam) berada di atas belakangnya. Apabila nabi sallAllahu `alaihi wasallam rukuk, diletakkan cucunya itu. Dan apabila Baginda berdiri daripada sujud, diambilnya pula dan diletakkannya kembali di atas belakangnya semula.”Kata Amir:“Saya tidak menanyakan solat apa yang dilakukan ketika itu.” Sebaliknya Ibnu Juraij berkata: ”Saya diberitahu oleh Zaid bin Abu I`tab daripada `Umar bin Sulaim, bahawa itu adalah solat Subuh.” (HR Ahmad dan Nasa’i)
6. Daripada Abdullah bin Syidad daripada ayahnya katanya:
“Pada suatu ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam keluar untuk solat siang, Zuhur atau Asar. Baginda membawa cucunya, Hasan dan Husein, lalu maju ke hadapan dan cucunya itu diletakkannya, kemudian mengangkat takbir (untuk solat). Seterusnya, Baginda pun sujud dan sujud itu sangat lama sekali hingga aku terangkat kepalaku. Rupa-rupanya aku lihat cucu Baginda itu berada di atas belakang Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, maka aku pun kembali sujud.Setelah selesai solat, para jemaah di belakang bertanya: ”Ya Rasulullah, tadi sangat lama sekali anda sujud hingga kami sangka telah berlaku sesuatu atau mungkin wahyu sedang diturunkan.”Ujar Baginda sallAllahu `alaihi wasallam: Semua itu tidak berlaku melainkan ketika itu cucuku ini berada di atas belakangku dan aku tidak mahu mengganggunya hingga dia merasa puas bermain.” (HR Ahmad, Nasa’i dan Hakim)
Daripada hadith ke-5 dan ke-6 di atas, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menunjukkan kepada kita akan akhlaq yang sangat mulia dan tinggi dengan kanak-kanak. Betapa Baginda meraikan dan menyayangi anak-anak kecil. Sehingga di dalam solat pun Baginda meraikan telatah mereka.
Nah, itulah antara apa yang sempat saya kongsikan dan respon bagi menunjukkan kepada para pembaca sekalian betapa Islam ini agama yang penuh dengan rahmat. Turunnya Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam adalah untuk memberikan rahmat ke seluruh alam. Dan apa yang ditunjukkan Nabi dalam semua kehidupannya wajar kita contohi semuanya supaya rahmat itu tersebar hingga Hari Kiamat.
Hadith-hadith di atas telah saya petik dari buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat tulisan Ustadz Abdul Rahman Mohamed yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Sejak saya miliki buku tersebut sekitar tahun 2006 atau 2007, saya lebih mudah faham kerana di dalamnya penuh dengan ilustrasi dan penerangan yang berdalilkan hadith Nabi. Sebelum ini, hanya dengar melalui hadith dan ceramah umum sahaja tentang perihal pergerakan asing Nabi dalam solat, agak sukar hendak membayangkannya. Jika kalian menjumpai buku ini, belilah! Ia sangat bermanfaat dalam mengalih paradigma.
Ingat, pergerakan-pergerakan asing yang tidak ada kena mengena di dalam solat yang disebutkan di atas bukanlah untuk dilakukan sewenang-wenangnya. Ia dilakukan apabila ada hajat dan kepentingan terutama jika melibatkan perkara yang merbahaya. Dan fokus tulisan ini lebih kepada interaksi dengan anak-anak ketika kita sedang solat.
Semoga catitan ini bisa memberikan manfaat, mudah-mudahan.
Selamat menjadi ibubapa yang penyayang sebagaimana penyayangnya Nabi sallAllahu `alaihi wasallam