Beramal Mengikut Fikiran Semata-mata Adalah Kesesatan

Melakukan sesuatu amalan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa berlandaskan kepada petunjuk al-Qur`an atau hadis-hadis Rasulullah s.a.w. merupakan tindakan yang berasaskan fikiran semata-mata. Untuk beramal dengan sesuatu amalan terutamanya secara iltizam dan berterusan mestilah berasaskan kepada nas-nas al-Qur`an dan hadis-hadis yang terbukti sahih mengikut dislplin ilmu hadis. Telah diakui dalam ilmu usul fiqh, tidak ada ruang untuk melakukan ijtihad dalam perkara yang telah dinaskan sebagaimana tidak ada peruntukan untuk berijtihad dan melakukan qias dalam ibadat yang kaifat dan caranya telah dijelaskan oleh Sunnah Rasulullah s.a.w. Syariat telah menjelaskan bahawa hukum Allah ke atas manusia tidak berlaku melainkan dengan apa yang telah disyariatkan Allah melalui rasul-rasul-Nya. Oleh kerana itulah Allah s.w.t. berfirman:

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولًا

Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (al-Isra`: 15)

Kedatangan para rasul adalah dengan tujuan untuk menjelaskan kepada manusia akan syari’at Allah dengan sejelas-jelasnya dan menunjukkan bagaimana cara ibadat yang betul kepada Allah. Sekiranya akal sahaja mencukupi untuk membimbing manusia tentu rasul-rasul tidak perlu diutuskan untuk membawa manusia ke jalan Allah. Akal secara bersendirian tidak dapat menentukan kebaikan untuk manusia, sama yang bersifat dunia atau akhirat. Akal hendaklah sentiasa dibimbing oleh wahyu. Akal bersifat terbatas dan dipengaruhi oleh unsur diri dan emosi. Oleh kerana itu, wahyu amat berperanan dalam membimbing akal untuk mengetahui dan menentukan baik dan buruk. Jika akal dibiarkan bersendirian untuk menentukan baik dan buruk pasti dia sendiri akan menentukan baik buruk mengikut sudut pandangnya walaupun di sisi orang lain adalah sebaliknya.

Dalil:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu. (Shad: 26)
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الْأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Kemudian Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui. (perkara yang benar). (al-Jathiyah: 18)

Imam al-Razi menafsirkan ayat ini dengan menulis: “Yakni di atas cara dan jalan agama. Maka hendaklah kamu turuti syari’at agama kamu yang sabit dengan dalil-dalil dan keterangan-keterangan dan jangan pula kamu turuti apa-apa yang tidak mempunyai hujah seperti hawa nafsu orang-orang jahil dan agama-agama mereka yang dibina di atas hawa nafsu dan kejahilan. (al-Tafsir al-Kabir, jil. 14, hal. 294)

Dikaitkan apabila tidak mengikuti petunjuk daripada Allah dan Rasul bererti menuruti hawa nafsu dan akal fikiran sendiri. Petunjuk Allah itu adalah hidayah yang membimbing manusia daripada terjerumus dalam kesesatan kerana mengikuti hawa nafsu.

فَلَا يَصُدَّنَّكَ عَنْهَا مَنْ لَا يُؤْمِنُ بِهَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَتَرْدَى
Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya oleh orang yang tidak beriman kepadanya (hari Kiamat) serta dia menurut hawa nafsunya; kerana dengan itu engkau akan binasa. (Taha: 16)

Tidak ada kemusnahan yang lebih besar selain dari menuruti hawa nafsu dan membelakangkan petunjuk Allah dan Rasul.

عن أبي هريرة ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « تعمل هذه الأمة برهة بكتاب الله وبرهة بسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم يعملون بالرأي فإذا فعلوا ذلك فقد ضلوا »

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya umat ini beramal dengan Kitab Allah untuk satu tempoh masa, kemudian dengan Sunnah Rasulullah s.a.w. untuk satu tempoh masa. Kemudian mereka beramal mengikut akal fikiran. Apabila mereka bertindak demikian maka sesungguhnya sesatlah mereka. (Ibn ‘Abd al-Barr, Jami’ al-‘Ilm Wa Fadhluh)

Beramal hendaklah berdasarkan kepada ilmu itu diasaskan di atas dalil yang diyaqini yakni bersumberkan al-Qur`an dan hadis-hadis yang sahih serta dalil aqli yang selaras dengan dalil syara’ iaitu qiyas. Seseorang itu menjadi mukallaf kerana perintah daripada syara’. Akal bukanlah penentu kepada hukum tetapi ia adalah alat untuk memahami dalil dan hukum. Untuk mengetahui sesuatu baik atau buruk, mendatangkan pahala atau dosa, ibadat atau tidak, mestilah merujuk kepada wahyu bukan ditentukan dengan fikiran.  Dalam hal ini, jika sesuatu amalan dianggap sebagai ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. sedangkan tidak ada dalil tentangnya maka ini adalah satu bentuk penyandaran kepada agama akan sesuatu yang bukan daripadanya. Dengan perkataan yang lebih jelas, amalan itu dikira sebagai bid’ah kerana kefahaman dan pengamalannya itu tidak berdasarkan kepada dalil-dalil yang mu’tabar tetapi hanya disangka sebagai baik sahaja. Sedangkan akal dan sangkaan tidak boleh bersendirian dalam penetapan hukum.

Dalam mengamalkan agama dan menghayatinya kita perlu sedar bahawa kita sama sekali dilarang mengikuti hawa nafsu sekalipun apa yang dilaksanakan itu sebagai ibadat yang seakan-akan menuruti ajaran agama. Melakukan sembahyang tahajjud sepanjang malam tanpa tidur pada malam-malam tertentu dan berpuasa pada setiap hari tidak boleh dianggap sebagai satu ketaatan kepada Allah s.w.t. kerana itu adalah mengikut keinginan hawa nafsu yang merasakan akan mendapat pahala yang lebih banyak dan menyangka itu lebih baik daripada apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam contoh ini, ibadat itu sendiri tidak salah tetapi menunaikannya secara melampau itu adalah sesuatu yang tidak dituntut malah ia amat dilarang. Bertegas untuk melakukan juga dengan cara ini akan membawa kepada menurut hawa nafsu bukan lagi beribadat dalam erti kata yang sebenar.

Tidak ada punca lain bagi pencipta bid’ah melainkan kerana dia merasakan itu adalah sesuatu yang lebih baik. Sesuatu perkara itu diakui sebagai baik atau tidak adalah berasaskan kepada wahyu bukan semata-mata dengan akal.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amar bin al-‘Ash katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekaligus daripada hamba-hamba-Nya tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama sehingga tidak tinggal seorang alim lalu orang ramai menjadikan orang-orang jahil sebagai pemimpin lalu mereka ditanya lantas memberi fatwa tanpa sebarang ilmu. Maka mereka itu sudah tersesat dan menyesatkan pula. (al-Bukhari, Muslim, Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Disebabkan tiada ilmu tentang al-Qur`an dan al-Sunnah, seseorang itu menggunakan sepenuhnya akal fikirannya untuk membina hukum. Sejarah telah merakamkan bagaimana para sahabat memahami syariat dengan cara yang betul menurut kaedah yang sahih. Berikut ini beberapa nukilan daripada sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang agung:

عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَوْ كَانَ الدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ الْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ

Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya: “Sekiranya agama itu dengan akal fikiran tentu bahagain bawah khuf (sarung kaki) lebih patut disapu daripada bahagian atas. Sesungguhnya saya melihat Rasulullah s.a.w. menyapu di bahagain atas khufnya. (Abu Daud)

عَنْ مُعَاذَةَ أَنَّ امْرَأَةً سَأَلَتْ عَائِشَةَ فَقَالَتْ أَتَقْضِي إِحْدَانَا الصَّلَاةَ أَيَّامَ مَحِيضِهَا فَقَالَتْ عَائِشَةُ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قَدْ كَانَتْ إِحْدَانَا تَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لَا تُؤْمَرُ بِقَضَاءٍ

Daripada Mu’azh bahawa seorang wanita telah bertanya kepada ‘A`isyah, katanya, adakah kita diperintahkan mengantikan sembahyang yang ditinggalkan pada waktu haidh? ‘A`isyah bertanya: “Adakah kamu ini orang Haruriah? Sesungguhnya di zaman Rasulullah s.a.w. apabila salah seorang kami didatangi haidh tidak diperintahkan pula untuk menggantikannya. (al-Bukhari dan Muslim)

عَنْ نَافِعٍ أَنَّ رَجُلًا عَطَسَ إِلَى جَنْبِ ابْنِ عُمَرَ فَقَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ قَالَ ابْنُ عُمَرَ وَأَنَا أَقُولُ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَلَيْسَ هَكَذَا عَلَّمَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَنَا أَنْ نَقُولَ الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ

Diriwayatkan daripada Nafi’ bahawa seorang telah bersin di hadapan Ibn ‘Umar lalu dia mengucapkan al-Hamdu Lillah, Wa al-Salam ‘Ala Rasulillah! (Segala puji bagi Allah dan Salam buat Rasulullah) Ibn ‘Umar berkata: “Aku juga pernah mengucapkan al-Hamdu Lillah, Wa al-Salam ‘Ala Rasulillah. Tetapi bukan begini Rasulullah s.a.w. mengajar kami. Baginda mengajar kami supaya mengucapkan al-Hamdu Lillah ‘Ala Kulli Hal. (al-Tirmizi dan al-Hakim)
Ucapan tahmid dan selawat kedua-duanya itu disyariatkan kepada orang Islam, namun kedua-duanya ada tempatnya yang khusus dan tidak boleh dipinda sesuka hati.
Athar-athar daripada para sahabat menunjukkan bahawa dalam soal agama yakni beribadat hendaklah berdasarkan kepada ketentuan syara’ yang diambil daripada al-Qur`an dan al-Sunnah dengan kaedah-kaedahnya yang benar-benar mu’tabar. Oleh sebab itu, Imam al-Syafi’e sebagaimana dinukilkan oleh ulama al-Syafi’iyyah telah berkata:
مَنِ اسْتَحْسَنَ فَقَدْ شَرَّعَ

“Sesiapa yang menganggap baik maka dia telah membuat syari’at. (lihat al-Ghazzali, al-Mankhul, hal. 374, al-Mahalli, Hasyiah Jam’ al-Jawami’, jil.2, hal. 395)

Membuat syariat itu boleh diertikan sebagai membuat cara dan aturan sendiri atau membuat sesuatu yang menandingi syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Keimanan kepada Rasulullah s.a.w. hanya akan sempurna apabila seseorang itu mematuhi syariat baginda tanpa mengadakan sesuatu bentuk ibadat yang tidak digariskan oleh baginda.