Kemusykilan:
Ana ada satu soalan. Adakah ana boleh beramal dengan Hadith-hadith yang saya tonton dalam video kuliah mana-mana ustaz yang berkelayakan dalam bidang pasal agama? Saya merasa mushkil kerana ada pihak yang mengatakan kita tidak boleh beramal dengan hanya melihat dan membaca kitab kecuali kita kena berguru. Harap ustaz memberikan jawaban secara terperinci. Syukran.
Dari Nasir: shah.alexandria@gmail.com
Jawapan
Semangat menuntut ilmu merupakan sesuatu yang terpuji. Biar apapun halangan yang ada semangat ini mestilah sentiasa tanpa mengambil kira faktor usia. Hal inilah yang dapat didapati di kalangan ulama salaf yang masih mahu membincangkan ilmu walaupun ajal datang menjemput.
Seorang muslim hendaklah sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan dalam dirinya supaya pemahamannya tentang agamanya semakin kemas dan mendalam. Menuntut ilmu semestinya melalui guru yang berkelayakan. Sebarang orang tidak boleh diangkat untuk menjadi shaykh meskipun dia berpakaian seperti ulama. Tidak dapat tidak mestilah ada pengakuan dari sesebuah institusi ilmu bahawa dia seorang yang berkelayakan. Sebab itulah adanya tradisi ijazah dalam pengajian Islam di madrasah dan universiti.
Ada juga mereka yang tidak berkesempatan untuk berada di pusat pengajian rasmi. Maka bagi mereka masjidlah sebagai pusat menadah ilmu. Ada juga mereka yang berjauhan dari kawasan ulama yang mu’tabar maka sukar pula bagi mereka untuk mendalami ilmu. Dalam hal ini, adalah harus bagi mereka yang tidak mempunyai kecukupan masa untuk memberi tumpuan untuk menghadiri kelas-kelas di masjid secara khusus tetapi mengambil peluang mendengar kuliah pengajian agama melalui atau rakaman, membaca bahan dalam kitab yang mu’tabar atau melalui talian di internet. Apatah lagi di zaman kemudahan ICT, pelbagai siri kuliah oleh ulama terkemuka berkenaan kitab-kitab mu’tabar boleh dicapai dengan mudah.
Keharusan ini berdasarkan kepada kaedah wijadah seperti yang bahaskan dalam Ilmu Usul Hadis. Maksud wijadah dalam ilmu hadis ialah seseorang itu mengambil hadis dari catatan tanpa mendengar, dan tanpa ijazah. Iaitu pelajar mendapati beberapa hadis dengan tulisan sheikh yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut dan dia mengenali sheikh itu. Tetapi pelajar itu tidak mendengar hadis daripada sheikh dan tidak juga mendapat ijazah.
Walau bagaimanapun bagai menjayakan proses pembelajaran secara tidak langsung ini beberapa syarat dan kretria perlu dijaga. Pertama, hendaklah dipastikan rakaman guru yang mengajar itu adalah asli dan beliau seorang ahli Sunnah yang diakui ilmunya. Kedua, sentiasa berusaha untuk berjumpa dengan guru-guru jika berkesempatan. Ketiga, setiap kemushkilan yang timbul hendaklah ditanya sama ada melalui email atau telefon. Keempat, hendaklah mengikuti pengajian melalui rakaman secara berterusan. Ini kerana adakalanya, guru tersebut memberikan pendapatnya yang terbaru dalam sesuatu masalah berdasarkan kajian yang dibuat olehnya dari semasa ke semasa. Adakalanya beliau mengubah atau menarik balik pendapatnya dan ini adalah sesuatu yang positif dalam perkembangan ilmu.
Adapun apa yang dikatakan belajar tanpa guru sebagai belajar dengan syaitan, ianya berlaku jika buku itu tidak mu’tabar, atau buku yang sukar difahami yang hanya dapat dihuraikan oleh guru. Apatah lagi kebiasaannya kitab-kitab zaman dahulu ditulis dengan cara yang sukar. Begitu juga tidak ada ma’nanya belajar dengan seorang guru tanpa meneliti kewibawaannya lantas menerima sahaja pendapatnya tanpa menimbang dengan neraca al-Qur`an dan al-Sunnah tanpa menyemak dengan ulama yang lebih ahli.
Wa Allah A’lam.