عَنْ مُعَاوِيَةَ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، يَقُولُ مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللهُ يُعْطِي، وَلَنْ تَزَالَ هذِهِ الأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللهِ، لا يَضُرُّهُمْ مَن خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ
Daripada Mu’awiyah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang Allah s.w.t menghendaki kebaikan besar lagi banyak untuknya maka pasti Dia memberikan kepadanya kefahaman yang mendalam dalam agama, sesungguhnya daku hanya membahagikan, Allah jualah yang memberi. Umat ini akan terus berada tetap dengan agama Allah, orang-orang yang menentang mereka tidak akan mengugat mereka sehinggalah datang urusan Allah, ya’ni berlaku kiamat. (al-Bukhari, no: 71, Muslim, no: 1037)
Perkataan khayr bermaksud kebaikan tetapi apabila didatangkan dengan nakirah tanpa ada partikel alif dan lam yang menunjukkan ma’rifat ya’ni sesuatu yang tertentu maka ia memberi erti sesuatu yang besar, banyak dan istimewa. Oleh itu, ia sesuai diterjemahkan dengan mempunyai sifat bukan secara mutlak.
Fiqh bermaksud kefahaman yang mendalam tentang agama Islam yang merangkumi kesemua cabangnya, aqidah, peraturan hidup, akhlak. Ia bukan terbatas kepada satu cabang ilmu yang dikenali sebagai fiqh yang merujuk kepada sah dan batal amal ibadat sahaja. Ini kerana dalam pemakaian ulama silam perkataan fiqh merujuk kepada agama itu sendiri yang menjadi tanggungjawab dan kewajipan manusia untuk menunaikannya dan menyempurnakannya dalam konteks sebagai hamba Allah s.w.t. dan khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkan alam ini. Istilah ilmu fiqh tentang tatacara ibadat dan mu’malat hanya terkenal setelah mana tersusunnya displin-displin ilmu secara berasingan melalui perkembangan pembukuan dam dokumentasi ilmu. Sebelum itu, istilah ilmu aqidah lebih dikenali sebagai Fiqh Akbar, kefahaman yang teragung seperti mana yang menjadi tajuk kitab Imam Abu Hanifah dalam bidang tawhid.
Hadis ini merupakan dalil yang menunjukkan kepada besarnya kedudukan mendalami ilmu agama dan ianya tidak diberikan melainkan kepada orang yang Allah s.w.t. mahukan kebaikan yang besar untuknya. Tafaqquh dalam agama ialah mempelajari dan menguasai prinsip-prinsip agama yang merangkumi aqidah , shari’ah dan akhlak, mengetahui halal dan haram dan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Orang alim itu mengetahui urusan agamanya sehingga dia mengetahui kebenaran lalu mengamalkanya dan memperjuangkannya serta menda’wahkan kepada orang lain.
Kefahaman yang mendalam tentang agama yang memberikan kebaikan kepada tuannya ialah ilmu yang membawa kepada khashyah, takut kepada Allah s.w.t. dalam hati dan kesannya itu dapat dilihat pada anggota tubuh badan sehingga berkemampuan untuk melaksanakan tugas inzar, iaitu memberi peringatan untuk umat.
Sebaliknya orang yang tidak mendalami dalam agama ialah orang yang tidak memperolehi kebaikan besar dan istimewa yang dijanjikannya. Ini difahami berdasarkan Mafhum Shart iaitu kebalikan syarat kepada orang yang Allah mahukan kebaikan yang besar kepada dirinya dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ya’la:
ومن لم يتفقه في الدين لم يبال الله به
Sesiapa yang tidak mendalami agama, Allah s.w.t. tidak mengendahkannya.
Al-Baji berkata: “Kefahaman yang mendalam tentang agama menunjukkan bahawa Allah s.w.t. mahukan kebaikan yang besar untuk hamba-Nya dan orang yang Allah mahukan kebaikan padanya maka diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama. Kebaikan itu bererti masuk syurga dan selamat dari api neraka. Allah s.w.t. berfirman:
فَمَنْ زُحْزِحَ عَنْ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
Ketika itu (Pada hari Kiamat) sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. (Surah Al ‘Imran: 185) (al-Muntaqa Sharh al-Muwatta`, jil. 9, hal. 279)
Antara maksud mahukan kebaikan untuknya ialah Allah s.w.t. akan memberi kepada tugas yang besar yang melaluinya dia akan memperoleh pahala yang banyak seperti mana dalam firman Allah s.w.t.
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Jika tidak kerana ulama yang menerima ilmu dan mewarisinya dari generasi sebelum mereka dan mengajarkan pula kepada orang ramai serta menjelaskan kepada mereka halal dan haram, maka pasti umat akan binasa dan berada dalam kesesatan. Setiap zaman terdapat pelbagai cabaran dan golongan yang mahu memesongkan umat Islam dari aqidah yang haq. Oleh itu, menjadi tugas orang yang mendalam ilmu untuk mematahkan kekeliruan dan penyesatan mereka. Ia dapat dapat dilaksanakan melainkan setelah memiliki ilmu yang mendalam dan hujah-hujah yang mantap.
Termasuk juga dalam ma’na memperolehi kebaikan yang banyak ialah mendapat keampunan melalui istighfar oleh makhluk-makhluk yang lain.
عن أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « طالب العلم أو صاحب العلم يستغفر له كل شيء حتى الحوت في البحر »
Daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Pelajar atau ahli ilmu diminta keampunan untuk oleh setiap sesuatu termasuklah ikan di laut. (riwayat Abu Ya’la yang dinuqilkan oleh Ibn Hajar dalam al-Matalib al-‘Aliyah, no: 3159)
Antara sifat dan ungkapan tentang ilmu ialah ia merupakan sesuatu yang luas dan dalam seperti laut. Oleh itu, orang yang berada dalam sesuatu bidang ilmu hendaklah merenung dirinya adakah apa yang dipelajarinya itu secara mendalam dan meluas ataupun sebaliknya. Tidak memadai seseorang yang menceburi satu bidang ilmu, mempelajarinya beberapa tahun kemudian mendakwa dirinya sudah alim. Ilmu dalam sesuatu yang amat luas tidak mempunyai tepian dan dalam sehingga tidak dapat menyelam ke dasarnya. Di atas setiap orang yang berilmu ada lagi orang yang berilmu daripadanya. Jesteru tidak seharus seseorang mendabik dada bahawa dia seorang yang alim. Alim yang sebenar ialah seseorang yang terus mengkaji bidang ilmu yang dipelajarinya di samping cuba menerokai bidang baru baginya serta cuba mencantum segala hasil kajiannya dalam satu perspektif yang baru dan lebih luas dan mampu meletakkannya di tempat sewajarnya dalam sistem ilmu yang dipelajarinya. Sesiapa yang kuat asasnya tetapi tidak mengembangkan cabang di atasnya maka tidak akan terhasil faedahnya seperti mana orang yang menyibukkan dirinya fiqh tanpa merujuk kepada disiplin hadis. Jika dia tidak mengkaji hadis yang sahih dan da’if maka dia membina ilmunya bukan di atas asasnya. Antara hadis dan fiqh hendaklah saling melengkapi sebagaimana perlu mengukuhkan kefahaman terhadap al-Qur’an dengan memahami Fiqh al-Sunnah.