Modal Utama Manusia Di Dunia




عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ رواه البخاري .

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dua ni’mat yang kebanyakan orang kerugiannya, kesihatan dan waktu lapang.” (al-Bukhari: 6412, al-Tirmidhi: 2304, Ibn Majah: 4170 )

Perkataan maghbun dalam hadis ini diambil dari ghabn atau ghaban. Yang pertama bermaksud rugi, tidak memperolehi keuntungan dan yang kedua membawa pengertian kebodohan, mudah ditipu dan merujuk kepada kekurangan pada akal.

Hadis ini termasuk dalam hadis-hadil mithal, ya’ni perumpamaan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. supaya dapat difahami dengan jelas untuk umatnya. Orang yang diberikan kesihatan dan kelapangan waktu ibarat peniaga yang mempunyai modal. Tentu sekali perlu dia menguruskan modalnya dengan sebaiknya untuk memperolehi keuntungan dan mengelakkan diri dari kerugian. Dia mestilah memilih untuk bermuamalat dengan orang yang amanah lagi jujur. Ini menuntutnya bijak merancang supaya tidak tertipu.

Dengan dua modal yang diberikan kesihatan dan kelapangan, setiap mukallaf mestilah mengusahakan imannya dan menyuburkannya dengan amalan soleh, bermujahadah melawan nafsu dan mereka yang memusuhi Islam.

Dua ni’mat ini diberikan perhatian yang khusus dalam hadis ini kerana sering kali manusia itu menyangka ianya terus ada dan mudah diperolehi. Dengan sangkaan ini, dia membiarkan waktu berlalu begitu sahaja tanpa menggunakannya pada jalan yang membawa kebahagiannya di dunia dan akhirat.

Selain itu, dua ni’mat ini saling melengkapi walaupun yang lebih penting adalah kesihatan kerana tidak ada faedah waktu lapang kalau terlantar sakit dan kewujudan manusia itu sendiri bergantung kepada kesihatan.

Punca dia bersikap begitu kerana tidak ada rasa bertanggungjawab dan tidak memikirkan apa yang akan berlaku di kemudian hari akibat kecuaiannya itu. Ini tanda orang yang tidak bersyukur. Sedangkan orang yang bijak ialah orang yang tahu mengatur, mengurus dan menjaga kedua-dua ni’mat ini dan dialah orang yang bersyukur. Allah s.w.t. berfirman:

وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur. (Saba`: 13)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang badwi tentang siapakah sebaik-baik lelaki:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ

“Orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya.” (al-Tirmidhi: 2329, Ahmad: 17698)

ليس يتحسر أهل الجنة الا على ساعة مرت بهم لم يذكروا الله فيها

“Tidaklah menyesal penghuni syurga melainkan terhadap waktu yang berlalu tanpa mereka mengingati Allah s.w.t.” (al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir)


Bimbingan hadis:

1- Penentuan masa hadapan manusia dalam perjalanan mencapai keredaan Allah adalah modal kesihatan dan waktu yang mana dia dapat melaksanakan ibadat dan amal soleh dengan sempurna. 

2- Peringatan supaya tidak menjadi orang yang rugi atau orang yang terpedaya jika tidak memanfaatkan kedua-dua ni’mat ini.

3- Seseorang itu tidak dapat menumpukan perhatian kepada ketaatan melainkan dia mempunyai kecukupan untuk keperluannya dan sihat tubuh badan kerana  ada orang yang berharta tetapi tidak sihat dan ada yang sihat tetapi tidak mempunyai harta yang mencukupi untuk keperluan. Oleh itu, sesiapa yang diberikan kedua-duanya tetapi malas melakukan ketaatan maka dia adalah orang yang rugi lagi terpedaya.

4- Disebutkan dahulu ni’mat ini dengan lafaz nakirah menunjukkan betapa besarnya nilai ni’mat yang diberikan Allah kepada hamba-Nya.