Hakikat Dan Makna Cinta Kepada Rasulullah S.A.W.: Tercapaikah Dengan Sambutan Maulidur Rasul?



Setiap orang yang beriman dituntut untuk menyintai Rasulullah s.a.w., sunnahnya, ajarannya dan perjuangannya. Keimanan kepada Allah s.w.t. tidak akan sempurna melainkan dengan menyintai Rasulullah s.a.w. Keimanan kepada Rasulullah s.a.w. disebut secara beriringan dengan keimanan kepada Allah s.w.t. dalam banyak ayat al-Qur`an dan sunnah baginda. Persoalannya apakah cinta Rasul itu, bagaimanakah jalan untuk menyintai dan cinta yang mana diakui sebagai benar.


Hakikat menyintai Rasulullah s.a.w. ialah mengikuti dengan patuh Sunnah baginda, mempertahankannya, mengutamakannya dalam setiap keadaan dan gerun untuk menyalahi sunnahnya. Kesemua di atas akan tercapai apabila seseorang itu mempelajari sunnah Rasulullah s.a.w. dan mempraktikkannya dalam kehidupan.

Seseorang yang mengakui cinta kepada Rasulullah s.a.w. akan zahir padanya beberapa tanda dan alamat kecintaannya kepada baginda. Pertama, mengikuti sunnah, beramal dengannya, menuruti ucapan dan perbuatannya, menjunjung perintahnya, menjauhi larangannya dalam keadaan senang atau susah, berat atau ringan, cergas atau malas.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ali ‘Imran: 31)

Kedua, mengutamakan sunnah Rasulullah s.a.w. daripada menuruti akal fikiran dan hawa nafsu. Tidak ada kebaikan dalam menyalahi Rasulullah s.a.w. walaupun akal mengatakan baik.

Ketiga, menyebarkan sunnah Rasulullah s.a.w. dalam masyarakat, sama ada melalui pengajaran, pendidikan, penerbitan serta membersihkan sunnah baginda daripada hadis-hadis palsu.

Keempat, selalu menyebut Rasulullah s.a.w. dengan berselawat kerana cinta kepada seseorang akan membuat pencinta itu sering menyebut-nyebut namanya. Begitu juga sentiasa berdoa selepas azan supaya baginda dikurniakan maqam yang tertinggi di akhirat.

Kelima, menyintai mereka yang dikasihi oleh Rasulullah s.a.w. iaitu isteri-isteri baginda, anak cucu baginda dan para sahabat, memusuhi mereka yang dimusuhi baginda, membenci mereka yag dibenci oleh baginda kerana cinta kepada seseorang merangkumi apa yang dicintai olehnya.

Keenam, cinta kepada Rasulullah s.a.w. yang paling utama ialah menyintai al-Qur`an yang diturunkan kepada Rasulullah dan pada diri bagindalah al-Qur`an terzahir dalam bentuk praktikal. Hal inilah yang telah diriwayatkan daripada ‘Aishah bahawa akhlak baginda itu ialah al-Qur`an. Kata Sahl bin Abdullah: “Alamat cinta kepada Allah ialah cintakan al-Qur`an, alamat cinta kepada al-Qur`an ialah cinta kepada Rasulullah s.a.w., alamat cinta kepada Rasulullah s.a.w. ialah cinta kepada sunnah dan alamat cinta kepada sunnah ialah cinta kepada akhirat, alamat cinta kepada akhirat ialah bencikan dunia dan alamat benci dunia ialah tidak menyimpan harta dunia melainkan sebagai bekalan dan alat penyampai kepada akhirat.” (Qadhi ‘Iyadh, al-Syifa`, hal. 571)

Ketujuh, cinta kepada Rasulullah dapat dilihat dengan kasihnya seseorang kepada sunnah dan bencinya kepada bid’ah. Dia tidak akan senang diri apabila berhadapan dengan bid’ah dan berusaha untuk memeranginya. Bid’ah merupakan ancaman yang terbesar kepada sunnah kerana ia akan menghilang wajah asal sunnah dan mengubah keaslian agama kerana agama itu hanya diketahui melalui sunnah. Apabila berleluasa bid`ah dalam masyarakat maka sunnah akan lenyap dan natijahnya agama tidak akan dikenali dalam bentuknya yang asal sebagai yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Melihat kepada konteks masyarakat Malaysia hari ini khususnya, perayaan Maulidur Rasul setiap kali bulan Rabi’u Awwal dianggap sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. Acara dan aktiviti utama yang diadakan ialah membaca selawat dengan cara berarak di sepanjang jalan dan dengan berdiri dalam masjid dan rumah, mengadakan jamuan kesyukuran sempena keputraan baginda, berselawat dengan suara yang kuat setiap lepas Juma’at sepanjang bulan Rabi’u Awwal, membaca zanji burdah serta sirah Rasul yang bercampuk aduk sahih dan mawdu’ serta pelbagai acara lagi yang sentiasa ada yang baru saban tahun.

Sekiranya cara ini diredai oleh Rasulullah s.a.w. pasti baginda akan mengajarkan umat.

Di dalam al-Mustadrak, Al-Hakim meriwayatkan sebuah hadis:

عن بن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ليس من عمل يقرب إلى الجنة إلا قد أمرتكم به ولا عمل يقرب إلى النار إلا قد نهيتكم عنه

Daripada Ibn Mas`ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tidak satu amalan yang mendekatkan kepada syurga melainkan aku telah menyuruh kamu melakukannya dan tidak ada amalan yang mendekatkan kepada neraka melainkan aku telah melarang kamu dari melakukannya. (Al-Mustadrak, no: 2136)

Walaupun para sahabat dan para tabi’in serta para ulama soleh yang mengikuti mereka mempunyai kecintaan yang tinggi dan kasih kepada baginda, namun mereka tidak pernah menganggap sebagai elok mengadakan pelbagai acara untuk menyambut kelahiran baginda termasuklah jamuan kesyukuran ataupun berpuasa secara khusus pada hari tersebut. Ini kerana sambutan sebegini merupakan sesuatu yang tidak dituntut oleh sunnah Rasulullah s.a.w. Masyarakat yang keliru akan menurut sahaja apa yang telah diputuskan oleh pihak yang mereka percayai. Sepatutnya dalam perkara seperti ini mereka perlu merujuk kepada al-Qur`an dan al-Sunnah serta apakah yang telah dipraktikkan oleh para sahabat.