Cara Termudah Khatam Al-Quran Dalam 30 Hari

"Pada zaman Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, ada para sahabat Nabi yang mengkhatamkan al-Quran dalam tempoh yang sangat singkat. Namun, Nabi sallAllahu `alaihi wasallam memberi pesan bahawa jika mahu khatam dalam masa yang singkat, maka janganlah khatam kurang dari 7 hari.

Dari `Abdullah bin `Amru radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Bacalah (khatamkanlah) al-Quran dalam sebulan sekali.” Aku berkata: ”Sesungguhnya aku mampu untuk lebih dari itu.” Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda: “Maka, khatamkanlah dalam tujuh hari, jangan kurang dari itu.”

(HR al-Bukhari)

Pesanan ini bertujuan supaya para sahabat membacanya dalam keadaan baik, tidak tergopoh-gapah dan membacanya dengan penghayatan. Kerana manfaat utama dari al-Quran adalah dengan menghayati maksudnya. Di samping itu, supaya para sahabat tidak melupakan akan tugas dan peranan harian mereka.

Orang-orang soleh dari kalangan para sahabat, tabi`in, tabi`ut tabi`in, salafussoleh dan selepas zaman mereka sentiasa dalam masa ke semasa khatam al-Quran. Mereka bukan sekadar baca dan faham. Malah mentadabburnya dan menghidupkan inti al-Quran. Kita wajar mencontohi sifat mereka yang mulia itu.

Memang ada dalam riwayat menceritakan beberapa tokoh salafussoleh yang mengkhatam lebih singkat dari 7 hari, terutamanya pada bulan Ramadhan. Namun mereka melakukannya kerana mereka faham akan kemampuan mereka membacanya dengan tartil, tajwid yang betul, faham makna dan penghayatan. Sambil tidak mengganggu aktiviti harian dan tugasan mereka. Contohnya Imam Asy-Syafi`i diriwayatkan khatam al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadhan. Ma sha’ ALLAH! Jauhnya kita. Lemahnya kita.

>
Al-Quran adalah manual hidup manusia!

Khatam Dengan Mudah Dalam Masa 30 Hari

Di sini ingin saya berkongsi sedikit cara yang biasa diamalkan oleh para muslimin hari ini untuk khatam al-Quran dalam tempoh 30 hari terutamanya apabila berada dalam bulan Ramadhan. Cara ini adalah cara yang paling mudah, tidak membebankan dan tidak mustahil dicapai oleh semua. Tinggal sahaja keazaman dan kerajinan.

Berikut caranya:

Dalam al-Quran mus-haf Uthmani, setiap juzuk al-Quran telah dicetak dengan ayat-ayat al-Quran sebanyak 20 muka surat. Bermakna setiap juzuk ada 20 muka surat.

Kita bahagikan 20 muka surat itu kepada 5, iaitu bilangan solat fardhu: Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya’. 20÷5=4. Bermakna setiap solat fardhu, kita hanya membaca 4 muka surat.

Bagi meringankan lagi, kita bahagikan 4 muka surat itu kepada 2 bahagian, iaitu:
  • 2 muka surat sebelum solat fardhu
  • 2 muka surat selepas solat fardhu
Dengan beristiqamah melakukannya pada setiap kali solat fardhu selama 30 hari, insyaALLAH kita bakal mengkhatamkan al-Quran yang padanya ada 30 juzuk itu.



Poster menerangkan cara paling mudah/praktikal untuk khatam
untuk khatam al-Quran dalam tempoh 30 hari (sila sebarkan!)

Buat masyarakat bukan `Arab seperti kita ini, sebaik-baiknya sertailah bacaan al-Quran itu dengan membaca sekali dengan maknanya. Semoga kita mendapat manfaat yang banyak apabila memahami maksud ayat-ayat suci al-Quran. Tidak hanya membacanya seperti biasa yang kita lakukan, tetapi membacanya sambil faham. SubhanALLAH!

Semoga kita diberi hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin…